RUKUN IMAN

RUKUN IMAN

PENGERTIAN IMAN

Dari Segi Bahasa:
Dari segi bahasa membawa maksud  percaya, yakin dan membenarkan.

Dari Segi Syarak :
Kepercayaan yang terbitnya daripada hati sesorang iaitu mempercayai dengan penuh keyakinan bahawa apa yang dibawa Rasullah SAW adalah benar dan datangnya daripada Allah SWT.

Iman merupakan anugerah Allah S.W.T yang amat tinggi nilainya kepada orang-orang Islam. Iman adalah perkara yang membezakan seseorang itu sama ada beriman atauppun kafir. Dengan imanlah manusia akan mendapat keredaan Allah. Keimanan yang kukuh akan menjadi benteng daripada kerosakan yang dibawa oleh nafsu dan syaitan.


Maksud Rukun Iman:
Rukun Iman bermaksud perkara yang wajib dipercayai dan diyakini oleh setiap umat Islam.

Rukun Iman

Rukun Iman ada 6 perkara

  1. Beriman kepada Allah
  2. Beriman kepada malaikat
  3. Beriman kepada kitab
  4. Beriman kepada rasul
  5. Beriman kepada hari kiamat
  6. Beriman kepada qadak dan qadar
Huraian ringkas rukun-rukun iman:

1. Beriman kepada Allah
Maksudnya mempercayai dengan penuh keyakinan bahawa Allah SWT yang mencipta alam ini dan Dia-lah Tuhan yang berhak disembah dan ditujukan segala pergantungan hidup.

2. Beriman kepada Malaikat
Merpercayai bahawa Allah SWT mempunyai pesuruh-pesuruh yang sentiasa patuh dan taat menjalankan segala perintah Allah.
Malaikat adalah makhluk ciptaan Allah yang dijadikan daripada cahaya dengan rupa bentuk yang tersendiri, berakal tetapi tidak mempunyai nafsu. Mereka bukan lelaki dan bukan perempuan, bukan jin dan bukan syaitan.
Wajib bagi setiap orang Islam mengetahui 10 malaikat. Iaitu:

  1. Jibrail a.s      -   Menyampaikan wahyu.
  2. Izrail a.s        -   Mengambil nyawa
  3. Mikail a.s      -   Memberi rezeki
  4. Israfil a.s       -   Meniup sangkakala
  5. Munkar a.s   -   Menyoal di dalam kubur
  6. Nakir a.s      -   Menyoal di dalam kubut
  7. Raqib a.s      -   Menulis kebajikan
  8. 'Atid a.s        -   Menulis kejahatan
  9. Malik a.s      -   Menjaga neraka
  10. Ridhwan       -   Menjaga syurga


3. Beriman kepada Kitab
Kitab ialah undang-undang dasar yang dijadikan pedoman atau pengajaran kepada manusia yang hendak dipimpin.

Pembahagian Kitab
Kitab-kitab terbahagi kepada dua:

  • Suhuf  - Suhuf merupakan pedoman yang tidak begitu lengkap mengandungi hanya hukum-hukum dasar yang  perlu diterangkan kepada manusia umumnya. Suhuf berjumlah 100 buah.
  • Kitab - Kitab ialah satu himpunan dasar lengkap untuk segala peraturan dan dasar ketuhanan yang berhubung dengan dunia dan juga akhirat, yang berhubung dengan zahir dan juga batin. Jumlah kitab ini hanya empat buah. Iaitu:
  1. Taurat  - diturunkan kepada Nabi Musa a.s
  2. Zabur  - diturunkan kepada Nabi Daud a.s
  3. Injil      - diturunkan kepada Nabi Isa a.s
  4. Al-Quran  - diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW.  



4. Beriman kepada Rasul
Allah SWT mewajibkan ke atas setiap orang Islam supaya beriman kepada semua rasul yang telah diutuskan  oleh-Nya tanpa membeza-bezakan antara seorang rasul dengan rasul yang lain.


NAMA-NAMA RASUL YANG WAJIB DIKETAHUI

1.  Adam a.s                                14.  Musa a.s
2.  Idris a.s                                  15.  Harun a.s
3.  Nuh a.s                                  16.  Zulkifli a.s
4.  Hud a.s                                  17 Daud a.s
5.  Soleh a.s                               18.  Sulaiman a.s
6.  Ibrahin a.s                             19.  Ilyas a.s
7.  Lut a.s                                   20. Ilyasa'
8.  ismail a.s                               21. Yunus a.s
9.  Ishak a.s                               22. Zakaria a.s
10.Yaakub a.s                           23. Yahya a.s
11.Yusuf a.s                              24. Isa a.s
12.Ayub a.s                               25. Muhammad SAW
13.Syuib a.s


5. Beriman kpada Hari Kiamat
Perkara-perkara yang berhubung dengan hari kiamat ialah bermula daripada kepercayaan kepada :
  1. Adanya mati.
  2. Pembalasan alam kubur, azab atau nikmat.
  3. Hari kebangktan setelah dunia ini dimusnahkn kesemuanya.
  4. Padang Mahsyar tempat kesemua manusia dan jin akan dikumpul untuk diadili. 
  5. Dihisab segala amalan dan dilakukan neraca timbangan.
  6. Meniti titian (sirat)
  7. Ke syurga atau ke neraka.
6. Beriman kepada Qadak dan Qadar
Qadak ialah pelaksanaan ke atas ketentuan sesuatu perkara sama ada baik atau buruk kesemuanya telah ditentukan oleh Allah SWT sejak azali.
Qadar ialah ketentuan sesuatu perkara yang telah, sedang atau akan berlaku ke atas seseorang kesemuanya telah ditentukan sejak azali.

(Antara sumber rujukan  Indahnya Hidup Bersyariat -
 Dato' Ismail Kamus & Mohd. Azrul Azlen Ab.Hamid)


KEMANISAN IMAN

Kemanisan iman bermaksud berasa gembira dalam melakukan ibadah, sanggupp menanggung kepayahan demi mendapat keredaan Allah S.W.T lebih daripada kepentingan sendiri.
Orang yang beriman akan mendapat kemanisan iman apabila tiga perkara berikut ada dalam diri mereka, iaitu:

  • cinta kepada Allah S.W.T dan rasulNya lebih daripada segalanya.
  • mengasihi sesama manusia kerana Allah SWT.
  • benci kepada kekufuran sebagaimana benci dicampakkan ke dalam api neraka. 

FAEDAH ORANG YANG MENDAPAT KEMANISAN IMAN
  • mencapai kesempurnaan dalam beribadat
  • dikasihi oleh Allah S.W.T
  • dijauhi daripada tipu daya syaitan
  • dijauhi daripada hawa nafsu jahat

IMAN BOLEH BERTAMBAH DAN BERKURANG
Mengikut mazhab Ahli Sunnah Waljamaah, iman manusia boleh bertambah dan berkurang bergantung kepada amalan yang diamalkan.
Firman Allah S.W.T yang bermaksud:  Sesungguhnya orang yang beriman itu adalah mereka yang apabila disebut nama Allah gementarlah hati mereka dan apabila dibaca kepada mereka ayat-ayat-Nya bertambahlah iman mereka dan kepada Tuhan mereka bertawakal.
                                                                                                              (Surah Al-Anfal: Ayat 2)












____________________________________________________________






Kongsi bersama - 





------------------------------------------------------------------------------------------------------------





MARILAH KITA MENGENAL ALLAH S.W.T. DENGAN LEBIH DEKAT

ALLAH S.W.T. YANG KEKAL

Akidah para ahli sunnah terhadap Zat Allah Taala yang Maha Suci ialah Allah itu Tuhan yang Esa, tiada sekutu bagiNya. Dia Qadim, tiada awal bagi wujudNya, dan wujudNya pula terus-menerus tiada akhir bagiNya. Dia Kekal, tidak luput sama sekali. Dia masih bersifat keagungan dan sifat keagungan ini berterusan, tidak akan musnah ataupun terputus dengan terluputnya pelbagai abad, atau berlalunya bermacam-macam waktu. Bahkan Dialah Allah yang Awal dan yang Akhir, yang Zahir dan yang Batin. Dan Dialah yang Maha Mengetahui segala sesuatu.

ALLAH S.W.T. BUKAN JISIM

Tuhan Allah bukanlah semacam jisim yang dapat digambarkan. Dia tidak menyamai apapun yang maujud. Begitu juga yang maujud tidak boleh menyerupaiNya.

ALLAH S.W.T. TIDAK BERTEMPAT

Dia tidak dilingkari (dipengaruhi)/ terpengaruh) oleh seluruh penjuru dan arah. Dia tidak pula bertetap setempat (tidak bertempat), sama ada dalam lapisan-lapisan bumi ataupun langit, malah dia beristawa di atas Arasy dalam keadaan yang Dia firmankan atau dengan makna yang Dia kehendaki.

Dia berada di atas Arasy dan langit, malah di atas segala sesuatu hingga ke batasan bumi. KetinggianNya tidak menjadikanNya lebih dekat kepada Arasy dan langit, sebagaimana semua itu juga tidak menjauhkanNya dari bumi dan tanah.


Bahkan Allah tetap Maha Tinggi darjatNya dari Arasy dan langit, sebagaimana Dia juga Maha Tinggi darjatNya dari bumi dan tanah.


ALLAH S.W.T. TIDAK TERPISAH DARIPADA MAKHLUK

Walau bagaimanapun Dia tetap dekat kepada yang maujud, dan lebih dekat kepada hambaNya daripada urat leher hamba itu sendiri. DekatNya kepada hambaNya tidak serupa dengan dekatnya jisim kepada manusia. Begitu juga dengan ZatNya yang tidak sama dengan zat jisim manusia.

ALLAH S.W.T. TIDAK BERSEKUTU DENGAN MAKHLUK

Dia tidak bertempat pada sesuatu benda (tidak bersekutu dengan mana-mana makluk). Demikian pula benda tidak bertempat (tidak bersekutu) pada ZatNya. Maha Suci Allah dari dilingkari oleh sesuatu tempat (mustahil Allah bertempat). Bahkan Dia telah sedia Ada sebelum terciptanya masa dan tempat. Dan Dia sekarang Ada dalam keadaan seperti dulu juga (sebelum masa dan tempat dicipta, tidak pernah berubah).

ALLAH S.W.T. BOLEH DILIHAT DI SYURGA

Di dalam ZatNya, kewujudanNya dibuktikan oleh akal fikiran. Dan ZatNya dapat dilihat oleh pandangan pada hari kemudian (alam akhirat) di tempat tinggal yang abadi (syurga). Hal itu adalah satu nikmat dari Allah dan belas kasihNya untuk orang-orang yang berbakti kepadaNya, dan sebagai penyempurnaan kenikmatan daripadaNya iaitu kurniaNya untuk melihat wajahNya yang Maha Mulia.

ALLAH S.W.T. TIDAK PERNAH LEMAH

Dan Allah Taala itu Maha Hidup, Maha Berkuasa, Maha Tinggi dan Maha Memaksa. Tidak didatangi kecuaian ataupun kelemahan, Tidak dihinggapi kelalaian ataupun ketiduran dan tidak terkena kehancuran ataupun kematian.

ALLAH S.W.T. PENCIPTA SEBENAR

Dialah satu-satunya yang menjadikan dan menciptakan, satu-satunya yang mengadakan dan membentuk.

ALLAH S.W.T. TAHU SEGALA SESUATU

Dialah Maha Mengetahui akan segala sesuatu yang telah diketahui. Ilmunya meliputi segala apa saja yang berlaku di dalam dasar bumi hingga ke atas langit. Tiada sesuatu pun yang terlepas dari ilmuNya sekalipun seberat atom sama ada di dalam bumi ataupun di puncak langit. Bahkan Dia mengetahui gerak-geri seekor semut hitam di atas batu licin pada malam hari yang gelap gelita. Dia juga Mengetahui gerakan sebutir debu di tengah-tengah cakerawala ini. Dia mengetahui yang rahsia dan yang tersembunyi. Dia dapat menyingkap perkara-perkara yang terlintas dalam diri dan gerak-geri hati, dan segala rahsia yang disembunyikan; iaitu dengan ilmuNya yang Qadim Azali yang Dia masih bersifat dengannya di dalam Azalil-Azali.

ALLAH S.W.T. YANG MENGATUR SEGALA GERAK DAN KEJADIAN

Dan Allah Taala itu Maha Maha Menghendaki ke atas semua yang dijadikanNya, dan Maha Pengatur terhadap segala yang diciptakanNya. Suatu apa pun tidak boleh berlaku dalam kerajaan dan kekuasaanNya melainkan dengan ketentuan dan kudratNya, dengan hikmat dan kemahuanNya. Apa yang Dia kehendaki (pasti) akan berlaku, dan apa yang Dia tidak kehendaki (pasti) tidak akan berlaku. Tidak ada yang dapat menentang perintahNya, dan tidak akan ada sesiapa yang menyalahkan hukumNya.

ALLAH S.W.T. MENDENGAR DAN MELIHAT SEGALA SESUATU

Dan Allah Taala itu Maha Mendengar dan Maha Melihat. Tidak ada suatu apa pun yang boleh didengar, terhalang dari pendengaranNya sekalipun amat halus. Dan tidak ada suatu apa pun yang boleh dilihat, tertabir (terselindung/ terhijab) dari pemandanganNya sekalipun amat kecil. PendengaranNya tidak akan tertutup kerana jauh, dan penglihatanNya tidak akan tertolak kerana gelap. Pendengaran dan pemandanganNya tidak menyerupai pendengaran dan pemandangan makhlukNya, sebagaimana ZatNya juga tidak serupa dengan zat makhlukNya.

AL-QURAN BUKAN MAKHLUK

Dan bahawasanya Allah Taala itu Maha Berkata-kata, Maha Memerintah, Maha Melarang, Maha Mengingatkan dan Mengancam. Dan al-Quran, Taurat, Injil dan Zabur itu adalah kitab-kitabNya yang diturunkan kepada para RasulNYa alaihimussalam yang membawa percakapanNYa, yang merupakan sifat bagi ZatNya dan buknalah sifat bagi makhlukNYa. Dan sesungguhnya al-Quran itu adalah Kalamullah yang bukan makhluk (bukan diciptakan) sehingga ia boleh binasa, dan bukan pula sifat bagi makhlukNYa sehingga ia boleh punah.

SEMUA SELAIN ALLAH S.W.T. ADALAH BAHARU

Dan Allah Taala itu Maha Esa. Tidak ada suatu apa pun selainNya melainkan bersifat hadis (baharu), yang terjadi dengan perbuatanNya, yang menerima dari keadilanNya dalam rupa yang paling sempurna, paling lengkap dan paling adil.

Dan Allah Taala itu Maha Bijaksana dalam segala perbuatanNya, Maha Adil dalam segala keputusanNya. Dan segala sesuatu selain Allah dari bangsa manusia, jin, malaikat, langit, bumi, binatang, tumbuh-tumbuhan, benda-benda padat yang dapat dlihat ataupun dapat dirasakan, semuanya itu adalah baharu, yang dicipta oleh Tuhan dengan kekuasaanNya, daripada tidak ada menjadi ada. Dan dijadikanNya pula dalam bentuk yang paling sempurna, yang pada asalnya tidak ada, sebab yang ada di dalam azal itu hanyalah Zat Allah Subhanahu wa Taala, dan selain itu tidak ada bersamaNya.


Allah S.W.T. telah menjadikan makhluk selepas itu sebagai tanda kekuasaanNya dan untuk merealisasikan apa yang terdahulu dari kemahuanNya dan apa yang ditentukan di dalam azal dari kalimatNya, bukan kerana Dia berhajat atau memerlukan penciptaan itu.


Sumber:
Ajaran Hujjatul Islam Imam al-Ghazali ini dipetik dari kitab Bimbingan Mukmin, iaitu ringkasan kitab Ihya’ Ulumiddin.


Info ini saya kongsi daripada islamdaniman.blogspot







4 comments:

  1. Syabas kerana berjaya menghasilkan blog yang menarik dan mengandungi info yang sangat berguna.Teruskan usaha...

    ReplyDelete
  2. Terima kasih, Insya-Allah jika ada kelapangan saya akan muatkan dengan info-info yang berkaitan.

    ReplyDelete
  3. Tahniah Kak Azna, blog yang cantik dan banyak ilmu di sini yang boleh dikongsi bersama.

    ReplyDelete
  4. Assalamualaikum..blog yang bagus utk berdakwah..kak sy minta share ye..syukran..

    ReplyDelete